Latar belakang Rapid_Penang

Langkah yang diambil Kerajaan Persekutuan Malaysia untuk mengendalikan perkhidmatan bas di Pulau Pinang timbul memandangkan keadaan perkhidmatan bas di negeri tersebut yang semakin tenat.[1]

Para pengendali bas Pulau Pinang menghadapi masalah kewangan selama bertahun-tahun dan situasi tersebut makin tenat apabila salah sebuah syarikat terbesar dan terkenal di negeri tersebut, Yellow Bus Company Berhad yang beroperasi selama 58 tahun, tiba-tiba lingkup pada 1 Januari 2004, menyebabkan banyak pengguna kehilangan satu pilihan pengangkutan yang penting.[2] Pada 1 April 2006, kerajaan Negeri Pulau Pinang merombak semula keseluruhan rangkaian bas dan berharap ia dapat meningkatkan semula mutu perkhidmatan bas. Menurut laluan-laluan yang diperbaharui, bas-bas besar berkhidmat di laluan "utama" manakala bas mini berkhidmat dalam laluan "feeder" yang bercabang dari laluan utama.[3] Bagaimanapun, pembaharuan tersebut gagal memperbaiki situasi[4], lalu Kerajaan Negeri meluahkan hasratnya untuk mencontohi pembaharuan yang dilakukan di Kuala Lumpur.[5] Pada bulan Februari 2007, Ketua Menteri Pulau Pinang Dr Koh Tsu Koon mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk mengendalikan perkhidmatan bas di negeri berkenaan.[6]

Pada 31 Julai 2007, Rapid Penang memulakan operasi setelah dilancarkan Perdana Menteri Malaysia Abdullah Ahmad Badawi sebagai sebahagian inisiatif Wilayah Ekonomi Koridor Utara.